Saturday 10 December 2011

Puisi buat Adam..


Wahai Adam,
Akulah insan yang dijadikan dari tulang rusukmu,
Akulah insan yang diciptakan untuk menjadi pasanganmu,
Akulah insan yang bergelar HAWA..

Wahai Adam,
Engkau adalah pemimpin buat kami yang bergelar Hawa,
Engkaulah insan yang diciptakan untuk membentuk kami yang bergelar Hawa,
Engkaulah manusia yang dijadikan untuk mendidik kami yang bergelar Hawa..

Wahai Adam,
Engkau mengambilku menjadi permaisuri di hatimu kerana empat perkara,
Kerana kekayaanku,
Kerana kecantikanku,
Kerana keturunanku,
Kerana agamaku..

Wahai Adam,
Jikalau engkau ingin menikahiku kerana kekayaanku,
Fikirkanlah ianya kembali,
Kerana kekayaan ku itu tidak menjamin kebahagiaan mahligai kita bersama,
Kekayaan ku itu mungkin memberi keindahan hidup kita di dunia,
Tetapi kekayaan itu tidak mungkin akan memberi keindahan hidup kita di akhirat kelak..

Wahai Adam,
Jikalau engkau ingin menikahiku kerana kecantikanku,
Fikirkanlah ianya kembali,
Kerana kecantikanku ini tidak menjamin keindahan hidup kita bersama,
Kecantikan ku inilah yang akan membuatkanmu sentiasa curiga apabila aku kau tinggalkan sendirian,
Apabila perasaan ini semakin membara,
Alamatnya kucar-kacirlah mahligai kita..

Wahai Adam,
Jikalau engkau ingin menikahiku kerana keturunanku,
Fikirkanlah kembali,
Kerana keturunanku itu tidak menjamin apa-apa selain ’nama’,
Walaupun aku keturunan bangsawan sekalipun,
Itu tidak bermakna yang kita akan mempunyai kebahagiaan hidup dalam mahligai cinta kita,
Sesungguhnya apalah erti cinta seandainya hanya pada nama dan keturunan..

Dengan itu wahai Adam,
Nikahilah aku kerana agamaku,
Dengan ini Insya-Allah kita mampu hidup bahagia dalam mahligai cinta kita,
Kita akan bercinta kerana Allah S.W.T.,
Kita akan berkasih kerana Allah S.W.T.,
Kerana percintaan kita kerana agama akan membawa kita kepada keredhaan Allah S.W.T.
Insya-Allah.

No comments:

Post a Comment