Friday 30 September 2011

Haruman Masyitah

Di antara mereka yang beriman dengan dakwah dan seruan Nabi Musa a.s adalah keluarga Masyitah dan suaminya Hazaqil. Hazaqil merupakan salah seorang pegawai yang amat di percayai oleh Fir'aun dan Masyitah pula merupakan penyisir rambut anak Fir'aun. Mereka amat taat dan beriman kepada Allah S.W.T. Namun mereka berjaya merahsiakan ketaatan mereka terhadap Allah S.W.T. dari pengetahuan Fir'aun.

Suatu hari, terjadi suatu perdebatan hebat di antara Fir'aun dengan Hazaqil. Ketika itu, Fir'aun sedang menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang ahli sihir yang menyatakan keimanannya terhadap ajaran Nabi Musa a.s. dan Hazaqil telah menentang hukuman itu dengan keras. Fir'aun lantas menjatuhkan hukuman ke atas Hazaqil. Hazaqil menemui ajalnya dengan tangan terikat pada pohon kurma dan tubuhnya penuh ditembusi anak panah. Masyitah amat sedih di atas kematian suaminya itu.
  
Sejak kematian suaminya, Masyitah selalu dirundung kesedihan. Tiada lagi tempat dia mengadu nasib kecuali kepada anak-anaknya yang masih kecil. Suatu hari, Masyitah mengadukan nasibnya kepada Asiah iaitu isteri Fir'aun. Di akhir perbualan mereka, Asiah menceritakan keadaan dirinya yang sebenar, bahawa dia juga menyembunyikan ketaatannya dari Fir'aun. Barulah keduanya menyedari bahawa mereka sama-sama beriman kepada Allah S.W.T dan Nabi Musa a.s.

Pada suatu hari, ketika Masyitah sedang menyisir rambut puteri Fir'aun, tanpa sengaja sisirnya terjatuh ke lantai. Tanpa di sangka-sangka saat memungutnya, Masyitah berkata: "Dengan nama Allah, binasalah Fir'aun."

Mendengar ucapan Masyitah itu, puteri Fir'aun merasa amat marah lalu mengancam akan melaporkannya kepada ayahandanya. Masyitah sedikit pun tidak merasa gentar dengan ancaman itu. Akhirnya, Masyitah telah di panggil oleh Fir'aun. Ketika menghadap Fir'aun, pertanyaan pertama yang diajukan kepadanya adalah, "Betulkah kamu telah mengucapkan kata-kata penghinaan terhadapku, sebagaimana yang di sampaikan oleh anakku? Dan siapakan Tuhan yang engkau sembah selama ini?" "Betul Baginda Raja yang zalim. Tiada Tuhan selain Allah yang sesungguhnya menguasai segala alam dan isinya." jawab Masyitah dengan berani.

Fir'aun menjadi murka. Dia memerintahkan para pengawalnya untuk memanaskan minyak di dalam sebuah kuali besar. Ketika minyak itu mendidih, pengawal kerajaan memanggil orang ramai untuk menyaksikan hukuman yang bakal dijatuhkan ke atas Masyitah. Sekali lagi, Masyitah telah dipanggil menghadap Fir'aun. Kemudian Masyitah di beri pilihan. Jika dia ingin selamat bersama anak-anaknya, dia harus mengingkari Allah dan mengaku bahawa Fir'aun adalah Tuhan yang patut disembah, jika Masyitah ingkar denga suruhan Fir'aun itu, maka Masyitah dan anak-anaknya akan di masukkan ke dalam kuali yang sedang mendidih minyaknya.

Masyitah tidak mahu menyerah kalah. Dia tidak akan tunduk di bawah perintah Fir'aun dan tetap mempertahankan imannya. Kemudia Masyitah membawa anak-anaknya menuju ke arah kuali iyu namun secara tiba-tiba dia ragu-ragu apabila melihat anak-anaknya itu. Dengan takdir Allah S.W.T yang Maha Kuasa, anak Masyitah yang masih menyusu itu berkata, "Jangan bimbang wahai ibuku. Ini kerana kita semua akan memperolehi ganjaran yang hebat daripada Allah SWT. Pintu syurga akan terbuka luas menunggu kedatangan kita."

Lantas, tanpa sedikit rasa takut pun, Masyitah terus terjun ke dalam kuali berisi minyak panas itu bersama anak-anaknya. Tiada sebarang tangisan atau jeritan yang keluar dari mulut mereka. Tiba-tiba satu keajaiban telah berlaku. Minyak yang sedang mendidih itu telah mengeluarkan haruman yang semerbak.

Demikianlah kisah Masyitah. Semoga kita semua mengambil hikmah dan mengikuti jejak keduanya, Hazaqil dan Masyitah, meninggal dalam keadaan teguh menggenggam kalimah Tauhid. Insya-Allah.

Saturday 3 September 2011

Lebih Rela Menjadi Fatimah

Bibirmu terkunci,
Senyummu terpaksa,
Demi maruah suami,
Kau diamkan segala.

Tangismu hiba di malam gelita,
Batinmu mengadu pada Yang Esa.
Kau tak mahu mengaibkan sesiapa,
Agar orang melihat tiada apa-apa.

Meskipun rahsiamu kemas tersimpan,
Allah tak rela kau menangis sendirian,
Kisah keluarga Nabi, Allah dedahkan,
Sebagai tauladan sepanjang zaman.

Konflik para isteri Nabi menjelaskan,
Betapa perit mengurus kecemburuan,
Walaupun oleh wanita paling beriman,
Apatah lagi dirimu wanita akhir zaman.

Terima-kasih buatmu Nabi,
Atas kebaikan cara, kemuliaan tujuan,
Atas kelembutan dan keadilan,
Wujudkah lelaki kini sebaik Nabi?

Aku belajar dari kepahitan mereka,
Bukan memilih kepahitan untuk belajar,
Terima-kasih Tuhanku tidak memaksa,
Menjaga agamaku daripada tercalar.

Pernikahan bukan medan percaturan,
Poligami bukan cuba-cubaan,
Tanpa keperluan ia bukan pilihan,
Hanya rukhsah ketika tiada jalan.

Syarat ta’liqku kukuh terpateri,
Kerana tiada lelaki sebaik Nabi,
Dan aku tak akan sebaik Aisyah,
Aku lebih rela menjadi Fatimah.

dicopy paste dari:
http://sebarkanbahagia.blogspot.com/2011/08/lebih-rela-menjadi-fatimah.html