Tuesday 4 October 2011

Pengorbanan Zinnirah

Zinnirah, begitulah namanya. Namanya jarang sekali disebut orang malah mungkin tidak pernah diperkatakan orang langsung. Zinnirah bukan dari golongan wanita yang terkenal di dunia dan tidak mempunyai suatu apa pun. Tetapi, Allah telah memuliakan wanita ini. Allah telah memuliakannya disebabkan pengorbanannya yang begitu hebat sekali.

Menurut sesetengah riwayat, Zinnirah adalah diantara orang yang awal memeluk Islam. Orang yang terdahulu memeluk Islam, biasanya akan menerima seksaan dan penderitaan yang amat pedih berbanding orang-orang yang terkemudian. Zinnirah adalah antara mereka yang mengalami seksaan yang pedih itu. Dia adalah wanita dari keturunan bangsa Rom dan telah ditawan untuk dijual di Kota Makkah. Umar al-Khattab yang pada masa itu belum memeluk Islam telah membelinya dengan harga yang amat murah untuk dijadikan hamba.

Penyebaran agama Islam pada awalnya disampaikan secara tersembunyi. Rasulullah SAW hanya menyampaikannya kepada ahli keluarganya sahaja. Zinnirah yang pada ketika itu sudah memeluk Islam amat khuatir dia akan diketahui oleh Umar. Apa saja ibadah yang dilakukannya adalah ketika tiada sesiapa di dalam rumah ataupun ketika semua manusia telah lena dibuai mimpi. Pada masa itulah Zinnirah akan sujud menyembah Allah dengan penuh linangan air mata. Adakalanya dia akan menangis sehingga tidak sedarkan diri.

Suatu hari, berita keIslamannya telah diketahui oleh Umar. Dengan perasaan marah yang meluap-luap, Umar terus berjumpa dengan Zinnirah dan menyeksanya dengan seksaan yang amat pedih. Zinnirah telah disepak, diterajang, kedua-dua kakinya diikat dan dibiarkan di tengah sinar mentari. Tubuhnya pula ditimpakan batu yang berat sekali. Zinnirah menerima seribu satu macam seksaan dan penderitaan. Tidak dapat digambarkan bagaimana keadaan yang dirasakan oleh Zinnirah ketika itu dengan siangnya yang begitu terik dan malamnya yang begitu sejuk.

Apa yang dialami Zinnirah tidak sedikit pun memberi kesan ke atas dirinya. Malah, lidahnya tidak henti-henti mengucapkan kalimah "Allah, Allah, Allah, Allahu Akbar, Allah lah Yang Maha Besar." Di dalam sanubarinya berdetik, "Ya Allah! Ini adalah untuk-Mu. Aku menerima kepayahan ini untuk kebahagiaanku di dunia dan di akhirat kelak. Berjihad adalah amat sukar dan tidak pernah sunyi dari penderitaan dan kesengsaraan. Namun aku sedar untuk beroleh syurga-Mu, aku harus melalui jalan berliku yang penuh duri, sedangkan beroleh neraka itu dikeliling oleh seribu nikmat." Itulah ucapan Zinnirah untuk mengubati segala kesakitannya.

Hukuman yang paling dahsyat yang dilakukan ke atas Zinnirah adalah ketika matanya ditusuk dengan besi tajam sehingga menyebabkan dia menjadi buta. Biarpun dugaannya amat sukar untuk dilalui oleh Zinnirah, namun dia rela diambil nyawanya dari dipaksa menggadaikan agamanya. Walaupun diseksa dengan begitu berat, Zinnirah tetap memohon kepada Allah SWT untuk diberikan hidayah kepada orang yang telah menimpkan seksaan ke atasnya. Kecintaan Allah telah memberinya semangat untuk menanggung segala penderitaan yang di laluinya.

Sesungguhpun Zinnirah telah buta, dia begitu tenang menerima dugaan dari Tuhannya. Walaupun pada zahirnya dia tidak dapat melihat keindahan alam ini, itu tidak bermakna dia tidak dapat terus menikmati sinaran Islam. Matanya saja yang buta tetapi hatinya tetap menyala dengan api cintanya terhadap agama.

Setelah berlakunya peristiwa ini, musuh-musuh Allah telah mempersendakan Zinnirah. Mereka telah menyebarkan fitnah kononnya Tuhan mereka, Latta dan Uzza telah membutakan mata Zinnirah. Zinnirah telah menyangkal fitnah itu dengan mengatakan bahawa apa yang berlaku ke atas dirinya adalah takdir Allah dan Allah sahaja yang mempunyai kuasa untuk mengembalikan semula penglihatannya.

Apabila mendengar kata-kata Zinnirah itu, mereka telah mencabarnya. Terjadilah sedikit keributan di antara mereka. Zinnirah tetap dengan pendiriannya bahawa Allah SWT yang mentakdirkannya menjadi buta disebabkan oleh perbuatan Umar. Akhirnya, mereka telah jemu melihat betapa teguhnya iman Zinnirah dan Umar berhenti menyeksanya. Dia berasa tiada gunanya mereka menyeksa Zinnirah. Ini kerana semakin berat dia menyeksa Zinnirah, semakin teguh imannya kepada Allah.

Akhirnya, Allah telah menunjukkan kekuasaan-Nya, Zinnirah yang buta itu telah pulih penglihatannta. Matanya lebih jernih dari sebelumnya dan dia dapat melihat dengan lebih jelas. Kilauan matanya terpancar terang sehingga mengilaukan pandangan orang-orang Quraisy. Allah telah memberi nikmat-Nya yang tidak terhingga kepada Zinnirah di atas ketakwaannya. Kemudian, Saidina Abu Bakar telah membelinya dan memerdekakan Zinnirah. Bebaslah dia dari kekejaman orang-orang kafir durjana.

Bagi Zinnirah, cukuplah kasih sayang dan perlindungan dari Allah SWT. Inilah kemerdekaan yang hakiki dan inilah kemerdekaan yang telah dicapai oleh Zinnirah. Dia adalah wanita yang kurang dikenali di dunia, namun dia dikenali oleh seluruh makhluk Allah yang di langit dan sentiasa didoakan oleh mereka.

No comments:

Post a Comment