Saturday 1 October 2011

Penantian Ainul Mardhiah


Ainul Mardhiah yang bereti ‘mata yang diredhai’ merupakan bidadari yang sangat rupawan dalam kalangan bidadari-bidadari yang lain. Dia telah di ciptakan oleh Allah SWT untuk seorang pemuda yang mati syahid.

Suatu pagi dalam bulan Ramadhan, Rasulullah SAW telah memberi targhib (ucapan-ucapan sebagai penyuntik semangat untuk para sahabat berjihad pada agama Allah). Rasulullah SAW telah berkata bahawa sesiapa saja yang keluar untuk berjihad di jalan Allah dan tiba-tiba dia syahid, maka dia akan dikurniakan seorang bidadari yang paling cantik dalam kalangan bidadari-bidadari syurga iaitu Ainul Mardhiah.

Apabila mendengar ucapan Rasulullah SAW itu, seorang pemuda yang masih muda belia ingin mengetahui bagaimana cantiknya bidadari yang telah dikatakan oleh Rasulullah itu. Oleh kerana merasa malu kepada sahabat-sahabatnya yang lain, dia berasa agak keberatan untuk bertanyakan hal itu kepada Rasulullah. Walaubagaimanapun dia tetap akan keluar berjihad bersama-sama Rasulullah SAW.

Telah menjadi sunnah Rasulullah SAW untuk tidur sebentar sebelum waktu zuhur. Maka pemuda itu pun tidur bersama para jemaah yang lain. Dalam tidurnya, pemuda itu telah bermimpi bertemu dengan seorang lelaki yang berpakaian bersih lagi cantik dengan muka yang berseri-seri, di suatu tempat yang sungguh indah. Pemuda itu pun bertanya, ”Di manakah aku sekarang?” Lalu lelaki itu menjawab ”Inilah syurga”. Kemudian pemuda itu pun mengatakan hasratnya untuk bertemu dengan Ainul Mardhiah. Lelaki itu pun menunjukkan ke suatu arah. Maka berjalanlah pemuda itu mengikut arah yang ditunjukkan lalu bertemu dengan sebatang pohon dan seorang wanita yang amat cantik. Pemuda itu tidak pernah melihat kecantikan seorang wanita seperti itu di dunia. Dia pun memberi salam lalu bertanya, ”Adakah kamu ini Ainul Mardhiah?” Wanita itu pun menjawab, ”Bukan. Saya adalah khadamnya. Ainul Mardhiah ada di dalam singgahsana.”

Pemuda itu pun berjalan dan memasuki satu mahligai yang cukup indah dan bertemu dengan seorang lagi wanita yang kecantikannya berganda-ganda dari wanita pertama yang ditemuinya tadi. Wanita itu sedang mengelap permata-permata hiasan di dalam mahligai itu. Lalu pemuda itu memberi salam dan bertanya, ”Adakah kamu ini Ainul Mardhiah?” Wanita itu menjawab, ”Bukan. Saya adalah khadamnya. Ainul Mardhiah ada di atas mahligai sana.” Lalu pemuda itu pun berjalan menaiki anak-anak tangga mahligai permata itu, kemudian sampai ke satu mahligai.

Di situ, dia melihat seorang wanita yang kecantikannya berganda-ganda dari wanita pertama yang ditemuinya dan berganda-ganda cantiknya dari wanita yang kedua. Wanita itu berkata kepada pemuda tersebut, ”Akulah Ainul Mardhiah. Aku diciptakan untuk kamu dan kamu diciptakan untukku.” Pemuda itu cuba mendekati Ainul Mardhiah, namun Ainul Mardhiah berkata, ”Kamu tidak boleh mendekatiku kerana kamu masih belum syahid lagi.” Pemuda itu tersentak dan terjaga dari tidurnya. Dia lalu menceritakan segala yang dimimpikannya itu kepada sahabatnya. Namun begitu, dia memesan agar jangan diceritakan mimpinya itu kepada Rasulullah SAW.

Di sebelah petangnya, pemuda itu pergi berjihad bersama-sama Rasulullah dan para sahabat yang lain. Takdir telah menentukan pemuda tersebut gugur syahid. Ketika semua jemaah pulang ke masjid untuk menantikan waktu berbuka, sahabat pemuda yang gugur syahid itu pun bangun dan merapati Rasulullah SAW. Dia menceritakan kepada Rasulullah perihal sahabatnya yang gugur syahid itu. Ketika sahabat itu sedang bercerita, Rasulullah menjawab, ”Benar.”

Kemudian setelah sahabat itu selesai, Rasulullah SAW pun berkata kepadanya, ”Memang benar apa yang kamu ceritakan tadi. Sahabatmu itu sedang menunggu untuk berbuka puasa di dalam syurga.”

No comments:

Post a Comment