Thursday 9 June 2011

Surat Kasih dari Ayah

"Ummi, apa isi dalam kotak ni?" tanya anakku yang berusia 4 tahun itu. Dia menyerahkan kotak itu kepadaku lalu keluar untuk pergi bermain dengan rakan-rakannya. Aku menatap kotak yang kelihatan sedikit berhabuk itu. Menurut anakku, dia terjumpa dalam bilik arwah ayahku. Aku mengambil keputusan untuk membuka kotak itu.

Alangkah berasa peliknya aku melihat isi dalam kotak itu. Ada gelang, anak patung 'daisy duck', patung Barbie dan sepucuk surat bersampul merah jambu. "Buat apa ayah simpan semua barang ni?" tanya ku dalam hati. Aku mengambil surat itu lalu memulakan bacaan.

Assalamualaikum anak kesayangan ayah..
 Anak ayah apa khabar? Ayah harap Jannah sihat walafiat. Masa anak ayah buka surat ni, maknanya ayah dah takda lagi kat dunia ni. Jannah dah jadi anak yatim piatu. Tapi tak apa, sebab Jannah dah berkahwin dan dah berkeluarga sendiri. Sayang, anak ayah masih ingat lagi tak kat semua benda yang ada dalam kotak ni? Ala.. Takkan tak ingat, kot? Kalau tak ingat, kejamnya anak ayah. Haha.. Acah je.. Okey la biar ayah ingatkan anak ayah.

 Ayah masih ingat masa Jannah umur 8 tahun, Jannah pernah minta ayah belikan Jannah anak patung 'daisy duck'. Masa tu, Jannah kata kat ayah yang semua kawan Jannah ada patung tu, jadi Jannah pun nak juga. Tapi ayah minta Jannah supaya bersabar. 'Bila ayah ada duit nanti, ayah belikan ya.' kata ayah. Jannah anak yang solehah. Jannah mengiyakan je tapi ayah tahu jauh dalam sudut hati Jannah, Jannah agak kecewa. Kerja ayah sebagai tukang kebun masa tu cukup-cukup je untuk sara hidup kita berdua. Sejak mak Jannah meninggal sebab kanser rahim, hidup ayah melarat. Ayah selalu sedih dan termenung. Tapi, setiap kali tengok wajah anak ayah yang dulu tak henti-henti mengalirkan liur, hati ayah gembira. Sekurang-kurangnya ayah tak keseorangan. 

Walaupun begitu, ayah tak mungkir janji ayah. Ayah berusaha kumpul duit untuk belikan Jannah anak patung tu sebab Jannah la satu-satunya sayang ayah. Tapi nampaknya masa begitu cepat berlalu. Masa ayah dah berjaya belikan Jannah anak patung tu, Jannah minta ayah belikan Jannah patung Barbie pula. Jannah kata waktu tu patung Barbie dah popular. Ayah cuba umpan Jannah dengan tanyakan soalan kat Jannah. Ayah tanya sama ada kawan-kawan Jannah masih ada yang main dengan anak patung 'daisy duck'. Jannah kata takda lagipun patung tu dah lapuk. Ayah terdiam. Ayah malu nak beri patung tu kat Jannah. Ayah tak nak anak ayah di ejek ketinggalan zaman oleh rakan-rakan Jannah. Ayah pun sembunyikanlah patung 'daisy duck' yang ayah belikan tu. Demi anak ayah, ayah sanggup lakukan apa sahaja sebab ayah sayangkan Jannah.


Memandangkan patung barbie jauh lebih mahal daripada patung 'daisy duck', ayah cuba lagi sedaya upaya untuk kumpul duit bagi membelikan Jannah anak patung barbie yang Jannah nak kan tu. Jannah anak yang solehah. Jannah diam-diam je setiap kali nampak ayah pulang ke rumah dengan tangan kosong, tanpa patung barbie yang Jannah nak. Tapi ayah tahu, jauh dalam sudut hati Jannah, Jannah kecewa. Maafkan ayah nak, sebab kecewakan Jannah. Pernah sekali, hati ayah benar-benar luluh. Kebetulan masa tu ayah pulang awal dari kebun Pak Mail, ayah terdengar bualan Jannah dengan rakan-rakan Jannah. Ayah sengaja bersembunyi di sebalik pokok. Diorang kata yang Jannah tak layak bermain dengan diorang sebab Jannah tiada patung barbie macam diorang. Wajah Jannah yang kecewa itu merasuk dalam diri ayah. Disebabkan ayah tak mampu nak belikan Jannah patung barbie, takda orang nak bermain dengan Jannah. Maafkan ayah, nak. Tapi, demi anak ayah, ayah sanggup lakukan apa sahaja sebab ayah sayangkan ayah ayah.


Lagi sekali, masa benar-benar mencemburui ayah. Masa ayah dah berjaya belikan Jannah patung barbie, Jannah dah membesar. Jannah bukan lagi kanak-kanak, tapi Jannah dah remaja. Waktu tu anak ayah dah berusia 14 tahun. Jannah minta ayah belikan Jannah gelang. Sekali lagi, ayah terdiam. Jannah kata, kawan-kawan Jannah semua ada gelang yang cantik. Ayah benar-benar tidak tahu hendak menjawab apa. Tapi demi anak ayah, ayah mengiyakan sahaja. Patung barbie yang ayah beli tu, ayah sembunyikan bersama-sama patung 'daisy duck' yang dahulunya Jannah minta beli. Ayah benar-benar berazam hendak memberikan Jannah patung barbie tu tapi memandang anak ayah dah besar, ayah lupakan sahajalah niat ayah tu. Azam ayah pada waktu tu, hendak belikan Jannah gelang.


Memandangkan harga gelang tu, Alhamdulillah, taklah semahal anak patung barbie tu ayah mampu belikan anak ayah dalam masa yang lebih singkat lebih kurang 2 bulan dari tempoh Jannah minta ayah belikan. Tapi nasib tak menyebelahi ayah. Sewaktu ayah dalam perjalanan pulang, ada orang beritahu ayah yang Jannah masuk hospital sebab kena langgar kereta sewaktu nak lintas jalan. Ayah benar-benar takda jalan lain selain untuk jual gelang tu untuk bayar perubatan Jannah. Syukur alhamdulillah ada seorang wanita yang merupakan pesakit juga kat hospital tu yang berbesar hati nak beli gelang tu dari ayah dengan harga yang berpatutan. Sekali lagi ayah dah terlepas peluang nak berikan sesuatu yang anak ayah nak. Tapi demi anak ayah, ayah kuatkan usaha untuk bekerja dengan lebih gigih untuk belikan anak ayah gelang.


Bil perubatan Jannah bukannya murah. Hampir setahun setengah ayah ambil waktu untuk selesaikan bil tu. Tak cukup dengan tu, dugaan besar yang ayah hadapi sewaktu Jannah dah nak SPM tahun tu, ayah kena berhentikan kerja sebab Pak Mail jual kebun dia dan anak ayah kena bayar yuran SPM. Ayah benar-benar buntu. Ayah minta Jannah beritahu cikgu kat sekolah untuk bagi Jannah lebih masa tapi sampai 2 bulan tertunda, cikgu sendiri yang datang jumpa ayah masa Jannah kat sekolah. Diorang kata yuran kena selesaikan minggu tu, kalau tak Jannah kena ambil SPM lain tahun. Tapi ayah tak nak kerana ketidaktanggungjawaban ayah, Jannah kena tunggu sampai tahun depan. Ayah ambil keputusan untuk mengambil upah sebagai pengawal keselamatan di sebuah bangunan pada waktu malam. Alhamdulillah, ayah berjaya bayar yuran Jannah, tetapi gelang Jannah ayah masih usahakan. Tetapi masih tertangguh sehingga Jannah melanjutkan pembelajaran ke universiti.


Apabila berjaya belikan Jannah gelang tu, sekali lagi ayah tak berjaya nak berikan sebab waktu tu Jannah dah berjaya menjadi seorang guru, dah berkerjaya dan dah mendirikan rumah tangga. Ayah benar-benar tak sangka terlalu lama ayah ambil masa untuk belikan Jannah gelang tu. Waktu ayah nak berikan gelang tu, ayah lihat barang kemas yang suami Jannah belikan jauh lebih mahal daripada yang ayah nak berikan. Ayah malu nak beri. Yalah, gelang yang ayah belikan tu murah dan sememangnya Jannah tak layak pakai barang-barang murah. Ayah sembunyikan gelang tu bersama-sama dengan patung 'daisy duck' dan patung barbie yang Jannah pernah minta.

Sehingga kini ayah masih malu nak berikan kat Jannah. Tapi hati ayah berkeras nak beri Jannah ketiga-tiga barang yang Jannah pernah minta dari ayah. Jannah anak yang solehah. Jannah tak seperti anak perempuan orang lain yang selalu meminta-minta. Ayah bersyukur ada anak seperti Jannah. Sesuai dengan nama Nur Ayuni Jannah yang mak dan ayah berikan. Anak ayah jadi isteri dan ibu yang solehah ya. Jaga diri baik-baik. Ayah sayang anak ayah selamanya.


Salam sayang,
   Ayah

"Ayah.." kataku dengan titisan air mata yang mengalir deras di pipi ku. "Maafkan Jannah, ayah.." kataku lalu ku ambil barangan itu dan ku dakap erat. Di sampul itu, ayah sertakan sepucuk lagi surat yang berisi lirik lagu untukku. "Jannah, sayang ayah.." kataku. "Ummi? Kenapa ummi nangis? Siapa buli ummi? Biar Riffin karate dia.." kata anak kecilku. Aku menariknya rapat ke dakapan ku. "Ummi.. Janganlah nangis.." katanya lalu membelai lembut kepalaku. "Ayah.." kataku lembut. Andai ayah ada disisiku ingin sekali ku dakapnya buat kali yang terakhir. "Jannah sayang ayah.." kataku.
 
Hijjaz-Puteriku Sayang
Lembut mu tak bererti kau mudah dijual beli
Kau mampu menyaingi lelaki dalam berbakti
Lembut bukan hiasan bukan jua kebanggaan
Tapi kau sayap kiri pada suami yang sejati

Disebalik bersih wajah mu disebalik tabir diri mu
Ada rahsia agung tersembunyi dalam diri
Itulah sekeping hati yang takut pada ilahi
Berpegang pada janji mengabdikan diri

Malu mu mahkota yang tidak perlukan singgahsana
Tapi ia berkuasa menjaga diri dan nama
Tiada siapa yang akan boleh merampasnya
Melainkan kau sendiri yang pergi menyerah diri

Ketegasan mu umpama benteng negara dan agama
Dari dirobohkan dan jua dari dibinasakannya
Wahai puteriku sayang kau bunga terpelihara
Mahligai syurga itulah tempatnya


No comments:

Post a Comment