Saturday, 23 July 2011

Kau Istimewa


Sebutir demi sebutir permata jernih mengalir dari kelopak mata yang tak letih. Cecair yang hampir mengalir di tarik masuk. Laptop yang diletakkan di riba tidak digerakkan langsung. Video yang sangat menyentuh hati. Ramai orang sekarang mengalir air mata apabila menonton wayang percintaan yang sedih. Mengalirkan air mata apabila penyanyi yang mereka minati  terkeluar dari pertandingan. Namun, mengapa tidak mengalirkan air mata melihat sebuah video yang memaparkan tentang tentangan yang dihadapi oleh umat Islam terdahulu dalam menegakkan agama yang mulia ini dan video mengenai kekasih hati kita Rasulullah S.A.W.?

Matikan TV yang memaparkan drama-drama yang tidak membawa faedah , dan marilah meluangkan masa 10 minit untuk menonton video ini. Kuatkan volume speaker dan hayati maksud lirik lagu ini. Sungguh indah!

Saturday, 9 July 2011

Buatmu puteriku


Wahai puteriku,
Masa berlalu dengan pantas,
Memori indah kita bersama,
Dihanyutkan bersama sang samudera,
Namun begitu,
Ia masih segar di fikiran ayahanda..

Wahai sayangku,
Engkau kini bukan lagi kanak-kanak,
Yang dahulunya sentiasa merengek bermanja dengan ayah,
Yang dahulunya bermain-main dengan patung pemberian ayah,
Yang dahulunya hanya tahu menghafaz surah Al-Fatihah yang ayah ajar,
Tetapi engkau kini telahpun dewasa,
Engkau kini hanya bermanja dengan suamimu,
Engkau kini berhiaskan hadiah pemberian suamimu,
Engkau kini selalu menghafazkan surah ar-Rahman bersama suamimu..

Wahai anakku,
Andai ayah mampu menghentikan waktu,
Ingin sekali ayah melakukannya,
Sesungguhnya kenangan bersamamu waktu dahulu,
Terlalu indah dan tidak mampu dibeli dengan nilai wang,
Namun apakan daya,
Ayah langsung tidak boleh kerana waktu sentiasa bergerak,
Tetapi ayah gembira melihat puteri ayah,
Tatkala ayah melepaskan anak ayah kepada teman hidupnya,
Walaupun luluh hati ayah untuk melepaskan,
Namun begitulah fitrah hidup..

Wahai puteriku sayang,
Andai sesaat lagi,
Malaikat Izrail mencabut nyawa ayah dengan izin Allah,
Ayah mahu engkau mengingati pesanan ayah ini,
Jadikanlah dirimu setabah Hajar,
Yang berlari antara Safa dan Marwah,
Jadikanlah dirimu setaat Mutti’ah,
Yang sentiasa melayani suaminya dengan baik,
Jadikanlah dirimu sesetia Khadijah,
Yang sentiasa mendampingi suaminya tika duka dan lara..

Jangan biarkan dirimu di tindas oleh orang lain,
Jangan biarkan imanmu tercalar dengan tohmah dunia,
Jangan biarkan dirimu putus asa pada Allah,
Kerana sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik tempat mengadu,
Jagalah dirimu wahai puteriku,
Sesungguhnya engkau adalah NUR AINUN HANANIE (Cahaya mata kesayanganku)

Salam sayang,
Ayah

Thursday, 9 June 2011

Surat Kasih dari Ayah

"Ummi, apa isi dalam kotak ni?" tanya anakku yang berusia 4 tahun itu. Dia menyerahkan kotak itu kepadaku lalu keluar untuk pergi bermain dengan rakan-rakannya. Aku menatap kotak yang kelihatan sedikit berhabuk itu. Menurut anakku, dia terjumpa dalam bilik arwah ayahku. Aku mengambil keputusan untuk membuka kotak itu.

Alangkah berasa peliknya aku melihat isi dalam kotak itu. Ada gelang, anak patung 'daisy duck', patung Barbie dan sepucuk surat bersampul merah jambu. "Buat apa ayah simpan semua barang ni?" tanya ku dalam hati. Aku mengambil surat itu lalu memulakan bacaan.

Assalamualaikum anak kesayangan ayah..
 Anak ayah apa khabar? Ayah harap Jannah sihat walafiat. Masa anak ayah buka surat ni, maknanya ayah dah takda lagi kat dunia ni. Jannah dah jadi anak yatim piatu. Tapi tak apa, sebab Jannah dah berkahwin dan dah berkeluarga sendiri. Sayang, anak ayah masih ingat lagi tak kat semua benda yang ada dalam kotak ni? Ala.. Takkan tak ingat, kot? Kalau tak ingat, kejamnya anak ayah. Haha.. Acah je.. Okey la biar ayah ingatkan anak ayah.

 Ayah masih ingat masa Jannah umur 8 tahun, Jannah pernah minta ayah belikan Jannah anak patung 'daisy duck'. Masa tu, Jannah kata kat ayah yang semua kawan Jannah ada patung tu, jadi Jannah pun nak juga. Tapi ayah minta Jannah supaya bersabar. 'Bila ayah ada duit nanti, ayah belikan ya.' kata ayah. Jannah anak yang solehah. Jannah mengiyakan je tapi ayah tahu jauh dalam sudut hati Jannah, Jannah agak kecewa. Kerja ayah sebagai tukang kebun masa tu cukup-cukup je untuk sara hidup kita berdua. Sejak mak Jannah meninggal sebab kanser rahim, hidup ayah melarat. Ayah selalu sedih dan termenung. Tapi, setiap kali tengok wajah anak ayah yang dulu tak henti-henti mengalirkan liur, hati ayah gembira. Sekurang-kurangnya ayah tak keseorangan. 

Walaupun begitu, ayah tak mungkir janji ayah. Ayah berusaha kumpul duit untuk belikan Jannah anak patung tu sebab Jannah la satu-satunya sayang ayah. Tapi nampaknya masa begitu cepat berlalu. Masa ayah dah berjaya belikan Jannah anak patung tu, Jannah minta ayah belikan Jannah patung Barbie pula. Jannah kata waktu tu patung Barbie dah popular. Ayah cuba umpan Jannah dengan tanyakan soalan kat Jannah. Ayah tanya sama ada kawan-kawan Jannah masih ada yang main dengan anak patung 'daisy duck'. Jannah kata takda lagipun patung tu dah lapuk. Ayah terdiam. Ayah malu nak beri patung tu kat Jannah. Ayah tak nak anak ayah di ejek ketinggalan zaman oleh rakan-rakan Jannah. Ayah pun sembunyikanlah patung 'daisy duck' yang ayah belikan tu. Demi anak ayah, ayah sanggup lakukan apa sahaja sebab ayah sayangkan Jannah.


Memandangkan patung barbie jauh lebih mahal daripada patung 'daisy duck', ayah cuba lagi sedaya upaya untuk kumpul duit bagi membelikan Jannah anak patung barbie yang Jannah nak kan tu. Jannah anak yang solehah. Jannah diam-diam je setiap kali nampak ayah pulang ke rumah dengan tangan kosong, tanpa patung barbie yang Jannah nak. Tapi ayah tahu, jauh dalam sudut hati Jannah, Jannah kecewa. Maafkan ayah nak, sebab kecewakan Jannah. Pernah sekali, hati ayah benar-benar luluh. Kebetulan masa tu ayah pulang awal dari kebun Pak Mail, ayah terdengar bualan Jannah dengan rakan-rakan Jannah. Ayah sengaja bersembunyi di sebalik pokok. Diorang kata yang Jannah tak layak bermain dengan diorang sebab Jannah tiada patung barbie macam diorang. Wajah Jannah yang kecewa itu merasuk dalam diri ayah. Disebabkan ayah tak mampu nak belikan Jannah patung barbie, takda orang nak bermain dengan Jannah. Maafkan ayah, nak. Tapi, demi anak ayah, ayah sanggup lakukan apa sahaja sebab ayah sayangkan ayah ayah.


Lagi sekali, masa benar-benar mencemburui ayah. Masa ayah dah berjaya belikan Jannah patung barbie, Jannah dah membesar. Jannah bukan lagi kanak-kanak, tapi Jannah dah remaja. Waktu tu anak ayah dah berusia 14 tahun. Jannah minta ayah belikan Jannah gelang. Sekali lagi, ayah terdiam. Jannah kata, kawan-kawan Jannah semua ada gelang yang cantik. Ayah benar-benar tidak tahu hendak menjawab apa. Tapi demi anak ayah, ayah mengiyakan sahaja. Patung barbie yang ayah beli tu, ayah sembunyikan bersama-sama patung 'daisy duck' yang dahulunya Jannah minta beli. Ayah benar-benar berazam hendak memberikan Jannah patung barbie tu tapi memandang anak ayah dah besar, ayah lupakan sahajalah niat ayah tu. Azam ayah pada waktu tu, hendak belikan Jannah gelang.


Memandangkan harga gelang tu, Alhamdulillah, taklah semahal anak patung barbie tu ayah mampu belikan anak ayah dalam masa yang lebih singkat lebih kurang 2 bulan dari tempoh Jannah minta ayah belikan. Tapi nasib tak menyebelahi ayah. Sewaktu ayah dalam perjalanan pulang, ada orang beritahu ayah yang Jannah masuk hospital sebab kena langgar kereta sewaktu nak lintas jalan. Ayah benar-benar takda jalan lain selain untuk jual gelang tu untuk bayar perubatan Jannah. Syukur alhamdulillah ada seorang wanita yang merupakan pesakit juga kat hospital tu yang berbesar hati nak beli gelang tu dari ayah dengan harga yang berpatutan. Sekali lagi ayah dah terlepas peluang nak berikan sesuatu yang anak ayah nak. Tapi demi anak ayah, ayah kuatkan usaha untuk bekerja dengan lebih gigih untuk belikan anak ayah gelang.


Bil perubatan Jannah bukannya murah. Hampir setahun setengah ayah ambil waktu untuk selesaikan bil tu. Tak cukup dengan tu, dugaan besar yang ayah hadapi sewaktu Jannah dah nak SPM tahun tu, ayah kena berhentikan kerja sebab Pak Mail jual kebun dia dan anak ayah kena bayar yuran SPM. Ayah benar-benar buntu. Ayah minta Jannah beritahu cikgu kat sekolah untuk bagi Jannah lebih masa tapi sampai 2 bulan tertunda, cikgu sendiri yang datang jumpa ayah masa Jannah kat sekolah. Diorang kata yuran kena selesaikan minggu tu, kalau tak Jannah kena ambil SPM lain tahun. Tapi ayah tak nak kerana ketidaktanggungjawaban ayah, Jannah kena tunggu sampai tahun depan. Ayah ambil keputusan untuk mengambil upah sebagai pengawal keselamatan di sebuah bangunan pada waktu malam. Alhamdulillah, ayah berjaya bayar yuran Jannah, tetapi gelang Jannah ayah masih usahakan. Tetapi masih tertangguh sehingga Jannah melanjutkan pembelajaran ke universiti.


Apabila berjaya belikan Jannah gelang tu, sekali lagi ayah tak berjaya nak berikan sebab waktu tu Jannah dah berjaya menjadi seorang guru, dah berkerjaya dan dah mendirikan rumah tangga. Ayah benar-benar tak sangka terlalu lama ayah ambil masa untuk belikan Jannah gelang tu. Waktu ayah nak berikan gelang tu, ayah lihat barang kemas yang suami Jannah belikan jauh lebih mahal daripada yang ayah nak berikan. Ayah malu nak beri. Yalah, gelang yang ayah belikan tu murah dan sememangnya Jannah tak layak pakai barang-barang murah. Ayah sembunyikan gelang tu bersama-sama dengan patung 'daisy duck' dan patung barbie yang Jannah pernah minta.

Sehingga kini ayah masih malu nak berikan kat Jannah. Tapi hati ayah berkeras nak beri Jannah ketiga-tiga barang yang Jannah pernah minta dari ayah. Jannah anak yang solehah. Jannah tak seperti anak perempuan orang lain yang selalu meminta-minta. Ayah bersyukur ada anak seperti Jannah. Sesuai dengan nama Nur Ayuni Jannah yang mak dan ayah berikan. Anak ayah jadi isteri dan ibu yang solehah ya. Jaga diri baik-baik. Ayah sayang anak ayah selamanya.


Salam sayang,
   Ayah

"Ayah.." kataku dengan titisan air mata yang mengalir deras di pipi ku. "Maafkan Jannah, ayah.." kataku lalu ku ambil barangan itu dan ku dakap erat. Di sampul itu, ayah sertakan sepucuk lagi surat yang berisi lirik lagu untukku. "Jannah, sayang ayah.." kataku. "Ummi? Kenapa ummi nangis? Siapa buli ummi? Biar Riffin karate dia.." kata anak kecilku. Aku menariknya rapat ke dakapan ku. "Ummi.. Janganlah nangis.." katanya lalu membelai lembut kepalaku. "Ayah.." kataku lembut. Andai ayah ada disisiku ingin sekali ku dakapnya buat kali yang terakhir. "Jannah sayang ayah.." kataku.
 
Hijjaz-Puteriku Sayang
Lembut mu tak bererti kau mudah dijual beli
Kau mampu menyaingi lelaki dalam berbakti
Lembut bukan hiasan bukan jua kebanggaan
Tapi kau sayap kiri pada suami yang sejati

Disebalik bersih wajah mu disebalik tabir diri mu
Ada rahsia agung tersembunyi dalam diri
Itulah sekeping hati yang takut pada ilahi
Berpegang pada janji mengabdikan diri

Malu mu mahkota yang tidak perlukan singgahsana
Tapi ia berkuasa menjaga diri dan nama
Tiada siapa yang akan boleh merampasnya
Melainkan kau sendiri yang pergi menyerah diri

Ketegasan mu umpama benteng negara dan agama
Dari dirobohkan dan jua dari dibinasakannya
Wahai puteriku sayang kau bunga terpelihara
Mahligai syurga itulah tempatnya


Wednesday, 8 June 2011

Durrani Wanita

Sebutir permata di perlubukan,
Memancar sinaran di kegelapan,
Biarpun tersimpan dalam lumpur,
Serimu takkan luntur..

Terlukis di wajah keriangan,
Tergambar sebuah ketenangan,
Namun tak siapa yang mengerti,
Rahsia dalam hati..

Wanita tertawa,
Wanita menangis,
Wanita tersenyum,
Wanita berduka..

Biar apa yang menanti,
Ku tetap teguh berdiri,
Dalam satu perjuangan,
Yang tak berkesudahan..

Engkau korbankan segalanya,
Tak pernah pinta balasnya,
Kau titiskanair mata,
Namun tersenyum jua..


Wanita engkaulah sang lantera,
Tanpamu sepilah persada maya,
Semoga kau damai sejahtera,
Untuk selama-lamanya..

Tuesday, 7 June 2011

Suratan Buat Adikku

Assalamualaikum adik akak yang tersayang,

Alhamdulillah. Dah besar dah adik kesayangan akak ni. Dik, akak tahu yang adik selalu marahkan akak dan adik selalu sakit hati kat akak. Tapi, akak tahu yang apapun terjadi, adik akan terus sayang akak, bukan? Di sini, akak ingin mengemukakan jawapan bagi setiap persoalan yang sering adik tujukan kepada akak setiap kali akak tegur adik.

Adik, adik masih ingat lagi tak masa adik umur 9 tahun? Masa tu adik tengah main patung barbie dengan khusyuk. Adik seronok sikat rambut dia, seronok pakaikan baju kat dia. Masa tu, akak tegur adik untuk pergi solat. Tapi adik tak nak. Adik nak teruskan main. "Adik tak takut kena bakar oleh api neraka? Allah murka tau kat hamba-Nya yang tak tunaikan solat. Lagipun adik akak dah besar, wajib tunaikan solat." kata akak. Wajah adik terus berubah. "Eleh. Akak mula tunaikan solat masa umur 13 tahun pun, takda juga orang nak sibuk. Yang akak nak sibuk hal adik kenapa pula? Sekurang-kurangnya adik umur 9 tahun ni pun dah tau nak tunaikan solat, tak macam akak tu." jawab adik dengan nada yang tinggi.

Sekarang, biar akak jawab soalan adik tu. Adik, akak sayang sangat kat adik akak. Sebab itulah akak tegur adik akak untuk tunaikan solat. Betul, memang akak mula tunaikan solat masa akak umur 13 tahun, sebelum-sebelum tu memang akak tak pernah tunaikan solat sebab tiada orang yang ambil berat kat akak. Abah ngan mak sibuk bekerja takda masa nak tegur akak. Tapi akak prihatin kat adik akak. Akak tak nak adik akak tanggung dosa yang teramat berat sebab tak tunaikan solat. Akak tak nak adik akak ikut sikap negatif akak ni sebab akak nak adik akak ni jadi salah seorang wanita ahli syurga. Akak sayang adik akak seorang ni. Lepas ni, adik akak rajin-rajin la tunaikan solat ya.

Adik, adik masih ingat lagi tak masa bulan ramadhan masa adik 13 tahun? Akak ingat waktu tu adik akak dah meningkat remaja. Adik akak bukan kanak-kanak lagi. Masa akak ke belakang rumah, akak nampak adik akak duduk kat bawah pokok sambil pegang sepinggan nasi. Akak marah kat adik akak sebab ponteng puasa. Adik marah sangat kat akak masa tu. "Akak dulu pun bukannya puasa. Ingat adik tak tahu ke yang akak tu selalu curi-curi makan. Waktu sahur bangun, kononnya nak puasa, tapi bila dah tengah hari, curi-curi makan. Adik sama je la macam akak. Yang akak nak sibuk apasal?" kata adik kat akak.

Sayang, inilah dia jawapan buat adik. Akak sayangkan adik akak. Akak tak nak adik buat apa yang akak buat dulu. Benar, akak dulu memang selalu ponteng puasa. Boleh dikatakan hari-hari dalam bulan ramadhan akak ponteng. Bila akak dah mula sedar kesilapan akak tu, akak menyesal. Masa tu akak dah 15 tahun. Akak terpaksa qada' kan semua puasa akak. Adik bayangkan keadaan akak. 90 hari akak perlu qada'kan. Akak berikat perut untuk bayar fidyah akak. Pernah sekali akak hampir pengsan sebab gastrik akak datang masa akak puasa. Akak tak nak adik akak rasa apa yang akak rasa. Puasa di bulan ramadhan tu nikmat, dik. Akak sayangkan adik. Adik rajin-rajin puasa ya lepas ni.

Perkara yang paling akak sukar nak lupakan masa adik umur 14 tahun. Masa tu akak dapat tahu yang adik akak mula ber'couple'. Akak marah kat adik akak. Akak suruh adik segera putus ngan lelaki tu. Adik marah kat akak. Adik kata kat akak, "Kenapa akak nak sibuk? Dulu akak ber'couple' takda juga orang nak sibuk. Adik baru first time ber'couple'. Yang akak tu dah 6 kali ber'couple' tak juga adik ambil kisah. Sibuk la akak ni."

Adik, akak sayang kat adik akak. Akak tak nak maruah dan iman adik hancur gara-gara percintaan maya. Benar, akak dulu memang play-girl. Bila dah break ngan seorang, cari lagi orang lain. Akak mengaku. Tapi, bila akak dah buat tak bermakna adik akak pun kena ikut. Dik, ber'couple' sebelum kahwin ni haram. Sebab dia libatkan zina hati. Akak tak nak adik akak jadi macam akak. Maruah akak hampir hilang sepenuhnya sebab perkara ni. Dulu, akak tak kisah bila boyfriend akak tu pegang tangan akak. Tak kisah bila dia cium pipi akak. Tapi sehingga kini akak menyesal sebab betapa murahnya diri akak dulu. Dik, cinta yang si dia berikan kat adik tu semuanya cuma tipu daya dari syaitan yang tak pernah putus asa merosakkan akidah anak Adam. Akak sayangkan adik akak. Lepas ni, adik akak jangan ber'couple' lagi ya. Nanti bila dah kahwin barulah ber'couple' cara yang halal.  

Akak juga masih ingat masa adik akak umur 14 tahun. Masa tu adik akak masih tak nak belajar tutup aurat. Akak tegur adik akak. Akak kata, "Adik tak takut ke kepala tu kena bakar ngan api neraka?". Muka adik jadi merah padam menahan marah. "Penyibuk la akak ni. Suka hati adik lah nak pakai tudung ke tak. Akak tegur adik, akak cermin la diri tu dulu. Akak dulu pun sama. Dah la tak pakai tudung, baju ketat sampai boleh nampak bentuk susuk badan akak tu. Biarpun adik tak bertudung, sekurang-kurangnya pakaian adik tak la ketat macam pelacur." kata adik.

Dik, akak sayangkan adik akak. Akak tak nak adik akak jadi punca kepada naiknya syahwat kaum lelaki disebabkan adik akak tak tutup aurat dengan sempurna. Benar, pakaian akak dulu memang menjolok mata dan hampir-hampir mirip dengan pelacur. Tapi tak bermakna adik akak kena ikut cara pemakaian akak tu. Akak prihatin kat adik akak. Akak nak adik akak tutup aurat dengan sempurna. Adik akak ingat tak perintah Allah S.W.T. dalam surah Al-Ahzab yang bermaksud:

  "Wahai nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman agar mereka melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu, mereka tidak akan di ganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani."

Bukankah itu sudah jelas, dik? Menutup aurat itu wajib bagi setiap orang muslim. Akak sayangkan adik akak. Lepas ni, adik akak rajin-rajinlah jaga dan tutup aurat ya.

Adik yang akak sayang, ketahuilah yang akak tegur adik akak sebab akak sayang kat adik. Bukan sebab akak sengaja nak cari kesalahan adik. Sebagai seorang kakak, akak bertanggungjawab membentuk adik akak jadi wanita yang solehah. Adik akak jaga diri tau. Jangan lupa solat, jangan tinggalkan puasa, jangan ber'couple' dan jangan lupa jaga aurat. Akak sayang adik akak.

Tulus dari hati,
Kakak

Saturday, 12 March 2011

Renung-renungkanlah

Situasi:

Akhwat A : Kenapa pakai celak ke sekolah?
Akhwat B : Alah. Kan pakai celak tu sunnah nabi. Dapat pahala tau kalau ikut sunnah nabi.
Akhwat A : Ya, betul. Tapi kenapa solat tidak ditunaikan? Bukan ka solat tu wajib? Kalau tunaikan
                   dengan sempurna dapat pahala, kalau ditinggalkan dapat dosa. Betul bukan?
Akhwat B : Err..
(Akhwat B tidak mampu jawab)

===========================================================================

Begitulah dia situasi masyarakat kini. Lebih mengutamakan sunnah daripada perintah. Bukan saya mengatakan yang sunnah Nabi tidak patut dilaksanakan, tetapi adalah lebih baik kita laksanakan dahulu perintah Allah. Menunaikan solat dan puasa bukanlah susah sangat pun, namun hairannya ramai yang malas menunaikannya.

Situasi di atas sering terjadi di sekolah saya, apabila sesi spot-check diadakan. Apabila di tanya mengapa bercelak ke sekolah, mereka akan menjawab, "ikut sunnah nabi". Pihak sekolah tidak menerima alasan tersebut kerana sudah termaktub dalam buku peraturan yang sebarang alat solek adalah dilarang untuk digunakan kecuali berbedak nipis. Apabila nama mereka yang bercelak di catat dalam buka salah laku disiplin, mereka akan marah dan mengatakan yang pihak sekolah melarang pelajar mengikut sunnah nabi. Tetapi apabila mereka disuruh untuk solat, mereka buat-buat terlupa. Aduhai! Apa sudah terjadi kepada para pelajar.

Mereka bukanlah dilarang menunaikan sunnah nabi, tetapi bercelak itu di kira melanggar peraturan kerana ia merupakan solekan. Pihak sekolah sebenarnya menyayangi pelajar dengan menyuruh mereka melaksanakan solat, tetapi mereka enggan. Mereka bukan lagi budak kecil, mereka sudah pelajar sekolah menengah. Namun mereka tidak memikirkan makna sebenar pihak sekolah berbuat demikian.  Kita dikurniakan akal oleh Allah S.W.T. untuk berfikir, oleh itu renung-renungkanlah. Sekian.

Qurratu'ain Husna

Friday, 11 March 2011

Aduhai Muslimah

"Di sana mestilah tutup aurat. Tu kan tempat yang mulia." begitulah dia kata-kata salah seorang sahabat saya semasa smenemaninya ke sebuah butik muslimah untuk membeli pakaian.

Beberapa hari yang lalu, dia memberitahu saya bahawa dia akan menunaikan ibadah umrah tidak lama lagi. Alhamdulillah. Syukur pada Allah. Memang dah rezeki dia.

Sahabat saya itu bukanlah seorang muslimah yang gemar menutup aurat. Bertudung pun dia tidak. Semasa berada di butik tersebut, saya menegurnya apabila dia hendak membeli sehelai selendang yang nipis. Saya memberitahunya adalah lebih baik sekiranya dia membeli tudung yang berkain tebal kerana dapatlah dia menutup aurat dengan sempurna. Air muka tidak suka terpapar di wajahnya.

Dia memberitahu saya yang dia membeli tudung tu hanya untuk dipakai semasa dia berada di sana sahaja. Apabila sudah kembali ke tanah air, tudung tu akan dibuang. Saya terdiam.

Saya hairan. Ramai orang yang seringkali berpendapat, apabila hendak pergi ke tanah suci hendaklah menutup aurat kerana tempat tersebut adalah tempat yang mulia. Benar. Tetapi mengapa apabila berada di tempat lain selain tanah suci, malas pula hendak menutup aurat? Mereka seringkali menjawab yang pintu hati mereka belum lagi terbuka untuk menutup aurat. Lagipun, kalau bertudung, tidak sosial kata mereka.

Saya mengaku yang saya bukan seorang muslimah yang benar-benar menutup aurat. Penutupan aurat saya juga tidaklah sempurna. Tetapi adakah mereka menganggap tidak menutup aurat di tanah air sendiri tidak berdosa? Adakah mereka menganggap hanya di tanah suci sahaja perlu menutup aurat?
Tidak! Sebagai muslimah kita perlulah sentiasa menutup aurat kita daripada di lihat oleh orang lain selain mahram kita dan agar kita dikenali sebagai wanita yang baik.

Firman Allah:
"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar), cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka di kenali (sebagai perempuan baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Al-Ahzab: 59)

Bersama-sama lah kita berdoa agar Allah S.W.T. melindungi kita dan semoga kita menjadi wanita yang solehah.
Amin.

Qurratu'ain Husna