Saturday, 9 July 2011

Buatmu puteriku


Wahai puteriku,
Masa berlalu dengan pantas,
Memori indah kita bersama,
Dihanyutkan bersama sang samudera,
Namun begitu,
Ia masih segar di fikiran ayahanda..

Wahai sayangku,
Engkau kini bukan lagi kanak-kanak,
Yang dahulunya sentiasa merengek bermanja dengan ayah,
Yang dahulunya bermain-main dengan patung pemberian ayah,
Yang dahulunya hanya tahu menghafaz surah Al-Fatihah yang ayah ajar,
Tetapi engkau kini telahpun dewasa,
Engkau kini hanya bermanja dengan suamimu,
Engkau kini berhiaskan hadiah pemberian suamimu,
Engkau kini selalu menghafazkan surah ar-Rahman bersama suamimu..

Wahai anakku,
Andai ayah mampu menghentikan waktu,
Ingin sekali ayah melakukannya,
Sesungguhnya kenangan bersamamu waktu dahulu,
Terlalu indah dan tidak mampu dibeli dengan nilai wang,
Namun apakan daya,
Ayah langsung tidak boleh kerana waktu sentiasa bergerak,
Tetapi ayah gembira melihat puteri ayah,
Tatkala ayah melepaskan anak ayah kepada teman hidupnya,
Walaupun luluh hati ayah untuk melepaskan,
Namun begitulah fitrah hidup..

Wahai puteriku sayang,
Andai sesaat lagi,
Malaikat Izrail mencabut nyawa ayah dengan izin Allah,
Ayah mahu engkau mengingati pesanan ayah ini,
Jadikanlah dirimu setabah Hajar,
Yang berlari antara Safa dan Marwah,
Jadikanlah dirimu setaat Mutti’ah,
Yang sentiasa melayani suaminya dengan baik,
Jadikanlah dirimu sesetia Khadijah,
Yang sentiasa mendampingi suaminya tika duka dan lara..

Jangan biarkan dirimu di tindas oleh orang lain,
Jangan biarkan imanmu tercalar dengan tohmah dunia,
Jangan biarkan dirimu putus asa pada Allah,
Kerana sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik tempat mengadu,
Jagalah dirimu wahai puteriku,
Sesungguhnya engkau adalah NUR AINUN HANANIE (Cahaya mata kesayanganku)

Salam sayang,
Ayah

No comments:

Post a Comment