"Di sana mestilah tutup aurat. Tu kan tempat yang mulia." begitulah dia kata-kata salah seorang sahabat saya semasa smenemaninya ke sebuah butik muslimah untuk membeli pakaian.
Beberapa hari yang lalu, dia memberitahu saya bahawa dia akan menunaikan ibadah umrah tidak lama lagi. Alhamdulillah. Syukur pada Allah. Memang dah rezeki dia.
Sahabat saya itu bukanlah seorang muslimah yang gemar menutup aurat. Bertudung pun dia tidak. Semasa berada di butik tersebut, saya menegurnya apabila dia hendak membeli sehelai selendang yang nipis. Saya memberitahunya adalah lebih baik sekiranya dia membeli tudung yang berkain tebal kerana dapatlah dia menutup aurat dengan sempurna. Air muka tidak suka terpapar di wajahnya.
Dia memberitahu saya yang dia membeli tudung tu hanya untuk dipakai semasa dia berada di sana sahaja. Apabila sudah kembali ke tanah air, tudung tu akan dibuang. Saya terdiam.
Saya hairan. Ramai orang yang seringkali berpendapat, apabila hendak pergi ke tanah suci hendaklah menutup aurat kerana tempat tersebut adalah tempat yang mulia. Benar. Tetapi mengapa apabila berada di tempat lain selain tanah suci, malas pula hendak menutup aurat? Mereka seringkali menjawab yang pintu hati mereka belum lagi terbuka untuk menutup aurat. Lagipun, kalau bertudung, tidak sosial kata mereka.
Saya mengaku yang saya bukan seorang muslimah yang benar-benar menutup aurat. Penutupan aurat saya juga tidaklah sempurna. Tetapi adakah mereka menganggap tidak menutup aurat di tanah air sendiri tidak berdosa? Adakah mereka menganggap hanya di tanah suci sahaja perlu menutup aurat?
Tidak! Sebagai muslimah kita perlulah sentiasa menutup aurat kita daripada di lihat oleh orang lain selain mahram kita dan agar kita dikenali sebagai wanita yang baik.
Firman Allah:
"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar), cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka di kenali (sebagai perempuan baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Al-Ahzab: 59)
Bersama-sama lah kita berdoa agar Allah S.W.T. melindungi kita dan semoga kita menjadi wanita yang solehah.
Amin.
Qurratu'ain Husna
No comments:
Post a Comment